Dalam Majalah PC sebelum ini, anda sudah diajar cara mencipta sebuah cakera “boot” yang sesuai digunakan untuk memulihkan sistem yang bermasalah. Cakera tersebut boleh dicipta dengan merakam (burn) fail Hiren’s BootCD 13, pada kepingan CD/DVD melalui aplikasi perakam yang sesuai. Menariknya, cakera “boot” ini boleh menolong anda dalam kerja-kerja menyelamat seperti membebaskan sistem yang dirampas program antivirus palsu. Operasi tersebut boleh dilaksanakan kerana jejak malware yang disorok boleh dilihat dengan jelas serta boleh dibuang tanpa sekatan. Cakera pemulihan ini juga boleh digunakan untuk mengakses fail-fail penting yang terperangkap dalam sistem yang terjejas. Jika sistem Windows anda gagal melepasi proses “boot”, cuba gunakan cakera ini untuk mengakses pemacu keras sistem. Melalui cakera ini anda boleh menyalin fail dari pemacu keras dalaman ke dalam pemacu keras luaran. Sebaliknya anda boleh memindahkan fail dari pemacu USB ke dalam pemacu keras dalaman; contohnya fail aplikasi pembuang malware. Semua ini boleh dilakukan melalui sistem operasi (OS) mini yang melengkapi cakera tersebut. CARA PENGGUNAAN Langkah 1: Diandaikan anda sudah mempunyai sebuah pemacu keras USB. Jika belum, sila dapatkan di pasaran dengan kapasiti yang diingini. Selain pemacu USB yang siap dipasang, anda boleh menciptanya sendiri dengan membeli sebuah cakera keras 2.5 inci dan sarungnya (berasingan), kemudian digabungkan. Dalam panduan ini, sebuah pemacu keras USB berkapasiti 320 GB (FreeAgent GoFlex dari Seagate) telah dipilih. Apabila pemacu berkenaan sudah disediakan, hubungkan pada port USB yang melengkapi sistem (PC/notebook) anda (Rajah 1). Langkah 2: Seterusnya sediakan pula cakera (CD/DVD) “boot” atau penyelamat yang dilengkapi sistem Hiren’s BootCD 13. Failnya ada di http://www.hiren.info/pages/bootcd atau di http://www.hirensbootcd.org/download. Selepas dimuat turun, rakam failnya (yang berformat ISO) melalui perisian seperti Portable InfraRecorder 0.52 atau perisian yang seumpamanya. Apabila selesai, labelkan cakera berkenaan. Kemudian, hidupkan sistem anda dan sisipkan cakera “boot” (Hiren’s BootCD 13) yang dicipta tadi ke dalam pemacu CD/DVD-ROM (Rajah 2). Langkah 3: Hidupkan semula (restart) sistem dan skrinnya akan memaparkan kekunci yang perlu ditekan untuk memilih menu “boot”. Sesetengah notebook menggunakan kekunci F9, manakala sesetengah PC menggunakan kekunci F12 (Rajah 3). Apabila senarai menu “boot” dipaparkan, pilih menu untuk menjalani proses “boot” dari pemacu CD/DVD-ROM (Rajah 4). Kemudian tekan kekunci Enter dan keluar dari paparan tersebut . Selain cara yang dinyatakan tadi, proses “boot” dari pemacu CD/DVD-ROM boleh juga ditentukan melalui paparan BIOS.
|
No comments:
Post a Comment